Kerajaan Sarawak laksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat

SIBU: Sebanyak 25 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta tiga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Sungai Lengan dan sekitarnya menerima sumbangan berjumlah RM132,000 di sini.

Penerima sumbangan melibatkan sembilan JKKK di Sungai Lengan, tujuh di Batang Lassa, empat di Sungai Serban serta masing-masing satu di Nanga Singat, Sungai Sebinjai, Sungai Mawan dan Tanjung Keling.

Turut menerima sumbangan ialah PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lengan, SK Singat dan SK Batang Lassa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad dalam ucapannya berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan, khususnya di luar bandar bagi memastikan anak-anak tempatan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Malah, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak, subsidi pendidikan tinggi serta pendidikan percuma.

“Ini membuktikan Kerajaan GPS amat komited memastikan tiada anak Sarawak tercicir dalam arus pendidikan kerana bidang ini merupakan kunci utama dalam membentuk masa depan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Mantar Gawai Dayak 2026 dan Pemimpin Bersama Rakyat Sungai Lengan yang berlangsung di Rumah Bunga, Sungai Lengan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnnie Zawawi, wakil Pegawai Daerah Sibu, ADO Cynthia Ong Hshiang Ping, Penghulu Denish Ansam; Penghulu Tanjung Keling, Kaunselor-Kaunselor N.43 Majlis Daerah Sarikei (SRDC) serta tuai-tuai rumah kawasan berkenaan.

Dr Safiee menjelaskan, pembangunan di kawasan luar bandar termasuk Daro, Matu dan kawasan pesisir terus dipergiat melalui pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, kemudahan asas serta pembangunan sosial secara berterusan.