KUCHING: Seorang calon Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan pertandingan kali ini sebagai pertandingan keluarga besar di dalam parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rejang, Datuk Len Talif Salleh berkata, beliau mengharapkan pertandingan itu nanti diadakan dalam suasana persaudaraan dan tidak ada sesiapapun menyentuh soal peribadi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak.
“Ikut cita rasa dan semua calon mempunyai kekuatan dan kelemahan sendiri,” katanya sambil menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih calon diminati agar dapat berkhidmat kepada parti.
“Ini memberi gambaran kematangan ahli parti dalam menghadapi pertandingan.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut kerana mahu memberi sumbangan kepada rakyat dan negeri.
“Jika melihat di kawasan tengah, kita mempunyai rancangan pembangunan jangka panjang terutama pembangunan infrastruktur yang saya sendiri menjadi Pengerusi RADA iaitu agensi pembangunan wilayah.
“Sebagai Pengerusi RADA, kita boleh menggunakannya untuk mempercepatkan tempo pembangunan dan saya akan berusaha sebaik mungkin serta meyakinkan perwakilan mampu melaksanakannya,” katanya.
