KUCHING: Terserah kepada perwakilan, menang bukan bermakna diterima sepenuhnya dan kalah bukan bermakna perwakilan kehilangan semuanya, kata penyandang Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Saya percaya, ahli parti yang menawarkan diri untuk bertanding telah memberi sumbangan besar kepada parti dan negeri Sarawak,” katanya yang akan mempertahankan jawatan Naib Yang di-Pertua PBB dalam Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB pada 14 hingga 16 Februari ini.
Beliau berkata, bagi sayap Bumiputera jawatan Naib Yang di-Pertua PBB hanya terdiri daripada empat orang.
“Jika kalah, bukan bermakna tidak diterima sepenuhnya dan atas sebab itu, saya sifatkan sebagai pertandingan persaudaraan.
“Tidak ada sikap ‘hentam dari belakang’ atau sebagainya. Dan tidak ada juga berkempen,” tegas beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
“Cara berkempen hanya dengan menemui perwakilan untuk meraih sokongan. Kita serah kepada perwakilan kerana perwakilan yang membuat keputusan,” katanya.
Kebiasaannya, apabila perwakilan hendak membuat pilihan, mereka akan melihat dari mana calon itu berasal selain daripada latar belakangnya, kata Karim.
