Sarawak masih perlukan ramai guru khas berkelayakan

KUCHING: Masih terdapat banyak kekosongan untuk guru khas di Sarawak meskipun proses pengambilan hampir selesai, menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Katanya, meskipun terdapat ramai pemohon untuk jawatan tersebut, namun jumlah calon yang benar-benar layak masih rendah.

Jelasnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menangani isu ini dan satu taklimat mengenai perkembangan itu diadakan baru-baru ini.

“Kekurangan calon ini berpunca daripada syarat kelayakan, iaitu mereka yang mempunyai ikhtisas dalam pendidikan tidak begitu ramai,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap graduan dari institut pendidikan guru (IPG) yang akan menamatkan pengajian dalam masa terdekat dapat mengisi kekosongan sedia ada.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Borneo International Robot Tournament 2025 di sini, semalam.

Dedahnya, berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sebanyak 96 peratus sekolah di Sarawak mempunyai guru bagi mengajar subjek yang diperlukan.

“Secara purata, hanya terdapat satu kekosongan guru bagi setiap sekolah. Sarawak mempunyai lebih 1,200 sekolah, termasuk sekolah rendah dan menengah,” ujar Sagah.

Menyentuh isu calon guru yang menolak penempatan di kawasan luar bandar, Roland berkata perkara itu bergantung kepada pilihan individu.

Ditanya sama ada guru yang menolak penempatan akan disenarai hitam, jelas beliau perkara itu terletak di bawah bidang kuasa SPP.

“Jika mereka menolak, mereka tidak akan mendapat peluang itu lagi. Itu adalah keputusan mereka sendiri,” tegasnya lagi.