Sarawak ambil langkah berani tangani isu pemanasan global

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah berani dengan menerajui pengeluaran tenaga hidrogen di rantau ini sebagai usaha mengurangkan isu pemanasan global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak perlu menyumbang kepada dunia dalam mengurangkan pemanasan global dan melihat pengeluaran hidrogen sebagai senjata terbaik untuk mencapainya.

“Sarawak memandang serius perkara ini, sebab itu Sarawak Energy bercakap mengenai hidrogen, dan saintis mengatakan hidrogen adalah tenaga terbersih.

“Kita mengambil risiko ini untuk mengeluarkan hidrogen walaupun kosnya sangat tinggi kerana kita ada banyak air (H2O) di empangan kita, selain mempunyai simpanan (gas) metane,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanatnya pada Majlis Makan Malam sempena Dengan Atlantic Council Millenium Leadership Program Study Tour di sini malam ini.

Katanya, Sarawak juga mengambil langkah drastik dalam pemuliharaan hutan bagi menangani perubahan iklim, selaras dengan salah satu dari teras dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 iaitu kelestarian alam sekitar.

Dalam hal ini katanya, Sarawak boleh berbangga apabila berjaya menanam 35 juta pokok di seluruh negeri pada 2024, mendahului sasaran ditetapkan Kerajaan Persekutuan.