KPWK komited perkasa wanita, gadis dalam bidang sains, inovasi

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak dalam usaha memperkasakan golongan wanita dan gadis di negeri ini menerusi bidang sains dan inovasi.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, meskipun wanita telah membuat sumbangan yang luar biasa dalam sains dan inovasi, namun jumlah penyertaan mereka masih kurang.

Selain itu katanya, norma dan sikap berat sebelah masyarakat turut menghadkan akses golongan ini kepada peluang untuk menguasai bidang tersebut.

“Sebagai sebuah kementerian, kita amat komited untuk menangani ketidaksamaan ini.

“Melalui dasar dan program kementerian, kita menyasarkan untuk memperkasakan wanita dan gadis dengan meningkatkan akses kepada pendidikan, memupuk bakat dan mewujudkan laluan kepada kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Hari Antarabangsa Wanita Dan Gadis Dalam Sains 2025 di Swinburne University Of Technology Kampus Sarawak hari ini.

Tegasnya, terdapat keperluan mendesak untuk anjakan paradigma dalam sikap masyarakat terhadap wanita dalam sains.

Dalam hal ini, penting untuk masyarakat memupuk persekitaran di mana sumbangan wanita kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM diiktiraf, dihargai dan dipromosikan.

“Inisiatif seperti perkongsian kami dengan institusi pendidikan dan pemain industri direka untuk menyediakan sumber, bimbingan dan sistem sokongan yang boleh membuka potensi dan memacu kejayaan,” katanya.