JKR sedang perhalusi anggaran kemusnahan infra akibat banjir

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sedang memperhalusi anggaran kemusnahan infrastruktur akibat banjir melanda di negeri ini baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mendedahkan jumlah tersebut agak besar kerana banjir yang melanda Sarawak kali ini adalah luar biasa.

Katanya, ada dilaporkan kemusnahan infrastruktur akibat banjir dan kali ini memang banyak.

“Kali ini banjir luar biasa, hujan turun pun luar biasa, cerun-cerun banyak runtuh.

“Anggarannya besar dan sedang diperhalusi,” katanya selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, Sarawak kini memerlukan peruntukan khususnya daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki dan membina semula infrastruktur yang rosak.

“Memang ada peruntukan daripada agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita juga perlu berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, tujuan kunjungan hormat tersebut untuk memberi penerangan kepada Premier Sarawak berhubung pelaksanaan projek-projek di Sarawak.

Katanya, kementerian juga mendapatkan pandangan daripada Abang Johari berkenaan penambahbaikan pelaksanaan projek agar siap mengikut jadual.

“Ada pelbagai peringkat projek, ada yang sudah diluluskan, sedang dilaksanakan.

“Bagi projek yang menghadapi masalah seperti lewat kita cari jalan penyelesaiannya,” katanya.