Pemain sape Sarawak berusia 10 tahun wakili negara

KUCHING: Pemain sape berusia 10 tahun dari Sarawak, Baptista Emmanuell Korintus akan mewakili negara ini ke Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) tahun ini.

Kejohanan terbabit melibatkan sebanyak 70 negara di Hollywood, Amerika Syarikat pada 16 hingga 27 Julai depan.

Ini selepas Baptista atau Nuel@Levat dari Rumah Sekapan, Piit Belaga berjaya memenangi pingat perak dalam uji bakat MCOPA Malaysia baru-baru ini di Star On Stage Kuching.

Nuel berkata, beliau bersemangat untuk mengikut jejak kejayaan Dion Das Louis, lapan tahun, memenangi emas pada Kejohanan Seni Persembahan Dunia ke-27 di California, Amerika Syarikat tahun lalu.

“Semestinya saya akan mengharumkan nama Malaysia khasnya dan Sarawak amnya dalam kejohanan dunia itu nanti, ” katanya.

Murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 7, Matang itu mula belajar bermain sape tradisional pada usia lima tahun sekitar tahun 2020 dan sape kontemporari pada usia sembilan tahun pada 2024.

Antara pencapaian terbaik Nuel adalah johan pertandingan Pre-school Kid Got Talent peringkat Sarawak (maya) 2020 (kategori bakat khas); johan pertandingan karnival Pre-school Kid Got Talent peringkat Sarawak (maya) 2021 (kategori instrumen); juara Hari Talenta BEM Kuching 2023 dan johan pertandingan bakat #tkcgottalent Peringkat Kebangsaan 2024.