KUCHING: Nama AirBorneo dipilih sebagai jenama syarikat penerbangan pertama Sarawak kerana negeri ini mahu menjaga kepentingan rakan di Sabah.
Perkara itu didedahkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menambah AirBorneo akan meneruskan operasi yang dilakukan oleh MASwings sebelum ini iaitu terbang ke kawasan luar bandar.
“Dari peringkat ke peringkat, kita akan membangunkan syarikat penerbangan ini, untuk membolehkan ia terbang ke destinasi-destasi yang lain selain dari kawasan Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings antara Kerajaan Sarawak dan MAG di Hotel Hilton di sini, hari ini.
Menurut beliau, AirBorneo akan membuka pelbagai peluang ekonomi dalam sektor pelancongan dan pelaburan.
Dengan Sarawak ketika ini sedang rancak membangunkan tenaga hijau, AirBorneo katanya akan menarik lebih banyak pelaburan datang ke negeri ini.
Malah, Sarawak juga dapat memasarkan produk-produknya ke luar seperti kraf tangan yang mendapat permintaan tinggi, ujarnya.
Disoal bila AirBorneo akan memulakan operasinya, Abang Johari berkata proses transisi akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.
“Saya minta 18 bulan proses transisi. Dalam rangka masa itu, kita akan meneroka untuk menambah aset, pesawat yang lebih besar kerana kita hendak terbang dari Kuching ke KL, ke Singapura dan jika dipersetujui, mungkin ke Jakarta.
“Lepas Jakarta, baharu kita fikirkan destinasi lain, secara berperingkat-peringkat,” katanya sambil menambah Kerajaan Sarawak mengambil alih sepenuhnya MASwings merangkumi aset dan pekerja.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kos pengambilalihan tersebut.
