Dr Annuar pertahan jawatan, mahu menyumbang pembentukan dasar Kerajaan Sarawak

SIBU: Mahu menyumbang pembentukan dasar Kerajaan Sarawak menyebabkan Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Annuar Rapaee mempertahankan jawatan itu pada Perhimpunan Agung
Ke-16.

“Saya percaya apabila mempunyai jawatan dalam parti, saya mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembentukan dasar yang akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Dr Annuar merupakan calon nombor empat untuk jawatan itu memberitahu sekiranya terus diberikan mandat, beliau akan berusaha menyumbang idea dan pandangan bagi mengemaskini dasar-dasar untuk menjadikan impian Sarawak Wilayah Maju Berpendapatan Tinggi 2030 menjadi satu realiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak berkata, matlamat untuk bertanding mempertahankan jawatan ini juga disebabkan beliau diamanahkan menjadi Timbalan Menteri bidang pendidikan untuk Sarawak.

“Banyak perkara telah dilakukan dalam merangka dasar bidang pendidikan di Sarawak, misalnya kita adalah kerajaan negeri pertama yang membantu membayar sebahagian hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anak negeri,” tambahnya.

Katanya, dasar lain turut dilaksanakan seperti pemberian komputer riba percuma, baucar buku, Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS), Sarawak Education Enhancement Programmes (SEEP), pelbagai Program Pembangunan Bakat dan Kemahiran serta pendidikan percuma di universiti milik kerajaan tahun depan.