KUCHING: Perjanjian di antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) masih belum dimuktamadkan secara mutlak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, terdapat maklumat tidak tepat yang ditafsirkan dalam perjanjian diumumkan baru-baru ini, meskipun kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan.
“Memang sudah ada kesimpulannya untuk isu minyak dan gas namun terdapat beberapa perkara belum mempunyai kepastian atau penjelasan berpunca dari maklumat tidak tepat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu ini dengan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Jelasnya, perjanjian di antara PETROS dan PETRONAS akan diumumkan kelak.
“Namun, saya yakin bahawa berdasarkan kebijaksanaan Perdana Menteri dan Premier Sarawak, kedua-dua pemimpin ini sangat bijak dalam menguruskan isu ini.
Pada 5 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Sarawak telah menerima Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 (Akta 144) sebagai undang-undang yang mengawal industri petroleum negara.
Pada masa sama, beliau dalam laporan The Edge, berkata syarikat minyak negara, PETRONAS mengiktiraf PETROS sebagai agregator gas Sarawak, tidak termasuk gas asli cecair (LNG).
