KUCHING: Yang di- Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Ke-16 nanti sebagai pertandingan sebuah keluarga.
Menurut Premier Sarawak itu, keyakinan peringkat akar umbi dapat dilihat terhadap kebolehan dan potensi masing-masing menerusi pemilihan.
“Oleh itu, saya yakin pimpinan peringkat akar umbi mempunyai tahap pemikiran yang boleh mengenal pasti potensi dalam kalangan pemimpin pertengahan parti,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertandingan pelbagai jawatan melibatkan Naib Yang di-Pertua parti Sayap Bumiputera dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sempena Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Februari ini.
Menurut Abang Johari, kebolehan pemimpin itu penting untuk menentukan hala tuju dan masa depan parti.
Abang Johari sehubungan itu berkata, pemimpin yang diwujudkan itu daripada kalangan mereka yang memahami perhubungan manusia dengan manusia dan pelaksanaan idea agar mudah difahami akar umbi.
Paling penting katanya, inti perjuangan berteraskan kepada kepentingan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambahnya, ia merupakan amanah pucuk pimpinan parti dengan kerjasama rakan-rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menilai manfaat yang diterima setakat ini demi masa depan Sarawak dan Malaysia.
“Saya yakin dengan kesatuan serta perpaduan yang mantap dalam kalangan pimpinan parti dan dikukuhkan lagi kerjasama komponen GPS, kita dapat menguruskan amanah ini dengan baik,” katanya.
Abang Johari menyifatkan perhimpunan kali ini membayangkan kehendak pimpinan akar umbi untuk meneruskan usaha PBB ke arah pembangunan yang lebih lestari sekali gus membentuk pasukan pimpinan yang boleh meyakini rakyat.
Bagi jawatan Naib Yang di-Pertua (Bumiputera), ia menyaksikan enam calon bertanding merebut empat kerusi dipertandingkan.
Mereka ialah, Datuk Len Talif Salleh, Dato Ibrahim Baki, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr Annuar Rapaee, Dato Sri Julaihi Narawi dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Sementara, bagi Ahli MT Sayap Bumiputera mempertandingkan 16 kerusi dengan 20 calon.
Mereka iala Datuk Haidar Khan; Awla Dris; Shafiee Ahmad; Syed Hamzah; Mohamad Duri; Ir Yusuf Abdul Wahab; Datuk Mohd Yusnar ; Yakup Arbi; Hadzman Johnny; Zainal Abidin; Datuk Ir Aidel Lariwoo; Comar Amid; Iskandar Turkee; Julaihi Mohamad; Datuk Ahmad Ibrahim; Razali Gapur; Hadzman Johny; Datuk Abdullah Saidol; Datuk Mohammad Razi Sitam dan Awgku Jinal Pengiran Jawa.
Manakala bagi, Sayap Pesaka sejumlah 14 kerusi dipertandingkan melibatkan 19 calon.
Mereka ialah Henry Kilah; Datuk Daniel Jubang; Datuk Jefferson Jamit; Datuk Dennis Ngau; Lesley Luyoh; Lidan Asan; Jawan Nyaun; Datuk Willie Mongin; Datuk Henry Sum Agong; Jampi Tutong; Michael Mujah; Kalang Jok; John Ilus; Dr Simon Sindang; Leonard Jambu; James Agat; Datuk Richard Rapu; Jerip Susil dan Datuk Paulus Palu Gumbang.
