Parti PBB berjuang pertahan hak Sarawak

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus berjuang mempertahankan hak Sarawak, perpaduan dan keutuhan dengan mengambil kira perubahan yang berlaku, kata Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, perjuangan itu akan membolehkan Parti PBB kekal relevan dan menjadi tunjang kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dengan kestabilan politik yang dipelopori oleh Parti PBB, GPS akan berjaya untuk memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, katanya dalam temuramah khas bersama media sempena Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB di sini, semalam.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telahpun dilaksanakan dengan pendapatan negeri Sarawak semakin bertambah melalui ‘revenue reengineering’ yang dipelopori oleh Premier Sarawak.

Menurut beliau, selain daripada mempertingkatkan ekonomi konvensional, perusahaan kecil dan sederhana, Premier Sarawak juga menekankan kepada pembangunan ekonomi baharu seperti ekonomi digital, circular ekonomi, ekonomi hijau, CCUS dan sebagainya.

“Ini sudah tentu akan dapat menambah lagi pendapatan kita. Semua ini dilakukan untuk kita memastikan negeri Sarawak akan berkembang dan generasi akan datang dapat menikmatinya.

“Oleh yang demikian, perpaduan dan keutuhan Parti PBB yang menjadi tunjang kepada Kerajaan GPS sentiasa dipertahankan dan kita mengambil kira perubahan yang berlaku untuk kita kekal relevan,” tambahnya.

Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB pada 14, 15 dan 16 Februari ini, katanya, melibatkan pemilihan dijangka dihadiri sekitar 3,500 perwakilan dari semua 82 cawangan di seluruh negeri.

Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita di Pusat Konvensyen Broneo Kuching (BCCK) pada 14 Februari ini.

“Kita sudah mengatur persiapan untuk Perhimpunan Agung Ke-16 itu dan berharap akan berjalan lancar,” katanya

Awang Tengah berkata, Perhimpunan Agung itu boleh dianggap sebagai usaha mempertahan perpaduan dan keutuhan Parti PBB yang menjadi tunjang kepada Kerajaan GPS.

Peranan Parti PBB, tambahnya, adalah untuk memastikan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dihormati serta dipatuhi.

“Malahan, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa perkara yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu wajar dipelihara dan dilaksanakan. Inilah prinsip penting untuk kebaikan kita bersama,” kata Awang tengah.

Menurut beliau, menerusi Majlis Tindakan MA63, banyak perkara di bawah MA63 telah berjaya dipersetujui dan dilaksanakan.

“Apa yang belum tercapai akan terus kita perjuangankan. Ini adalah hak kita, dan seperti kata Allahyarham Tok Nan ‘Nothing More Nothing Less’,” katanya.

Mengenai peranan belia dan wanita, Awang Tengah berkata, kerana belia dan wanita memain peranan yang penting, Parti PBB menubuhkan Sayap Belia 18-28.

“Kita mahu mendedahkan mereka ini dan mereka harus peka terhadap sejarah dan apa yang perlu dibuat untuk masa depan.

“Mereka ini adalah golongan penyambung kepada perjuangan kita dan kita tahu keadaan yang tidak menentu dari segi geopolitik, dan ini juga menjejaskan struktur ekonomi. Apa yang penting, mereka harus tahu menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku.

“Kita mahu mendedahkan mereka ini dan mereka harus peka terhadap sejarah dan apa yang perlu dibuat untuk masa depan,” tegas beliau.