1,247 guru baharu dilantik

KUALA LUMPUR: Seramai 854 calon guru asal Sarawak telah berjaya dalam Urusan Pengambilan Khas Sarawak tahun 2024 dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah di negeri Sarawak, kata Menteri Pendidikan.

Fadlina Sidek berkata, selain itu, menerusi Urusan Pengambilan Guru tahun 2024 Pasaran Terbuka, seramai 393 orang calon guru dari Sarawak turut ditempatkan di negeri ini.

Jumlah keseluruhan guru baharu anak Sarawak yang telah dilantik dan ditempatkan di Sarawak seramai 1,247 orang, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ahmad Johnie dalam soalan lisannya ingin tahu berapa ramai calon guru asal Sarawak yang telah diambil dalam Inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak baru-baru ini dan berapa orang calon guru yang dilantik dari kawasan lain serta mengapa kekosongan guru berkenaan tidak diisi sepenuhnya oleh guru-guru dari Sarawak.

Fadlina juga memberitahu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus mengorak langkah proaktif dengan meneruskan urusan Pengambilan Guru Tahun 2025 seperti yang diiklankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 25 Januari 2025.

KPM, tambahnya, sentiasa berusaha menambah baik proses pengambilan guru baharu dengan memperkukuhkan kerjasama strategik bersama SPP dan agensi pusat.

Keutamaan akan terus diberikan kepada calon tempatan bagi memastikan kesinambungan pendidikan yang lebih mampan di negeri Sarawak, katanya.