KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memberi jaminan kepada pengguna bahawa jumlah bekalan silinder LPG (gas) adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan di negeri ini.
PETROS dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi menangani keadaan di Wilayah Utara, syarikat terbabit akan meningkatkan keupayaan pengangkutan LPG dari Kuching dan Teluk Sepanggar serta mewujudkan depo bagi penyimpanan tambahan di Miri.
PETROS menggesa orang ramai supaya tidak menyebar dan berkongsi maklumat palsu dan membeli silinder LPG hanya perlu bagi memastikan pengagihan saksama kepada semua.
Syarikat itu menyedari mengenai berita palsu yang disebarkan dalam media sosial yang mendakwa kononnya kos pengangkutan tambahan ditanggung oleh pengguna.
“Adalah dimaklumkan bahawa perkara ini adalah tidak benar dan PETROS menanggung semua kos pengangkutan bagi mengelak kenaikan harga LPG,” kata kenyataan itu.
Bagi menjamin bekalan LPG berterusan kepada pengguna di Wilayah Utara, PETROS meningkatkan pelan perniagaannya dengan mendapat bekalan LPG dari Kuching dan Teluk Sepanggar di Sabah.
Dalam keadaan semakin mencabar sekarang, PETROS memberi jaminan pasukan petugasnya bekerja sepanjang masa untuk membolehkan orang ramai mendapat bekalan LPG.
Bencana banjir telah menjejaskan operasi utama dan laluan pengangkutan dan melambatkan proses penghantaran ke beberapa tempat di negeri ini.
PETROS berkolaborasi dengan pihak berkaitan, rakan logistik dan pengagih tempatan bagi mempercepatkan proses penyimpanan dan penghantaran.
Kenyataan itu berkata, tanah runtuh di Loji Pengisian Bersepadu LPG di Bintulu, telah menghentikan operasi loji terbabit buat sementara waktu untuk keselamatan penduduk yang tinggal di sekelilingnya.
Bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan daripada situasi sekarang, orang ramai dinasihati supaya menghubungi Khidmat Pengguna PETROSNiaga di talian 1300-88-2122.
