Bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir disalur dalam masa terdekat

KUCHING: Bantuan RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini akan disalurkan dalam masa terdekat, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau memberitahu, bantuan ini nanti akan disalurkan melalui Pejabat Residen Daerah masing-masing yang mana melibatkan seramai 4,966 KIR seluruh Sarawak.

Jelas beliau, bantuan ini akan disalurkan secepat yang mungkin kerana peruntukan itu sudah diterima, cuma kini masih menunggu senarai penerima untuk disahkan.

“Sebelum ini kita telah memutuskan bahawa setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diberikan RM1,000 seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof. Peruntukan telahpun disalurkan kepada Kerajaan Sarawak sebanyak RM2.8 juta untuk diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Sarawak 2025 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan penyerahan bantuan tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Dato Sri Nancy Shukri.

Mengulas mengenai penilaian kerosakan ekoran banjir pula, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBNS) memberitahu beliau akan membentangkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet yang akan datang.

Jelasnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengeluarkan arahan untuk membentangkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet yang akan datang.

“Ini kemudiannya akan diusulkan ke Pejabat Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memaklumkan, sejauh mana kerosakan yang terjejas akibat banjir.

“Ini termasuk sekolah, klinik, rumah, hospital, jalan-jalan raya dan sebagainya yang mengalami kerosakan akibat banjir yang lalu,” katanya lagi.

Sementara itu, YKN tampil membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di Sarawak dengan sumbangan RM300,000 kepada Kerajaan Sarawak.

Bercakap kepada media selepas majlis, Nancy yang juga Pengerusi YKN itu memberitahu, sumbangan ini adalah hasil kerjasama erat dengan pihak korporat dan individu yang prihatin terhadap kebajikan mangsa bencana.

Ujarnya, ia juga sebagai tanda solidariti dan sokongan YKN kepada Kerajaan Sarawak serta mangsa banjir yang terjejas.

“Bantuan ini akan disalurkan terus ke akaun JPBNS kerana kita percaya JPBNS lebih mengetahui bagaimana cara untuk menguruskan sumbangan ini nanti kerana kita memahami bahawa RM300,000 ini tidak mencukupi kalau kita melihat keadaan di Bintulu dan Miri serta tempat-tempat lain yang terjejas.

“Oleh itu, dengan berbuat demikian, kita memberikan sumbangan melalui JPBN selaku wakil Kerajaan Sarawak, supaya mereka dapat mengatur kaedah pengurusannya kelak,” ujar beliau.

Setakat ini, JPBNS telah menerima RM12.8 juta daripada Pejabat Perdana Menteri, RM10 juta daripada Kerajaan Sarawak manakala RM2.45 juta pula disumbangkan oleh sektor swasta termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).