AirBorneo tidak ancam syarikat penerbangan lain

KUCHING: Syarikat penerbangan baharu Sarawak, AirBorneo tidak akan mencetus ancaman kepada syarikat penerbangan sedia ada, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sebaliknya kewujudan AirBorneo akan mencetuskan persaingan sihat dalam industri penerbangan tempatan yang akan memberi manfaat kepada pengguna, katanya.

“Saya tidak melihatnya sebagai satu persaingan, sebaliknya semua pihak sedang berganding bahu dalam meningkatkan industri pelancongan dan penerbangan.

“Apabila lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi, ia akan memberi manfaat kepada pengguna kerana mereka akan menikmati perkhidmatan yang lebih baik dan tambang yang lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak 2025 di sini hari ini.

Menurutnya, AirBorneo akan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional yang kukuh dengan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri, sepertimana model penerbangan negara lain seperti Qatar Airways, Turkish Airlines dan Emirates.

Tambah beliau, AirBorneo disokong oleh kerajaan negeri yang berdaya maju dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

“Oleh itu, ia tidak hanya tertumpu kepada keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada pembangunan menyeluruh dalam sektor penerbangan,” katanya.

Tambahnya, Kuching akan menjadi hab utama bagi AirBorneo, yang bakal membuka peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan penerbangan, penyelenggaraan pesawat dan perkhidmatan berkaitan lain.

Penubuhan AirBorneo diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam selepas Kerajaan Sarawak memeterai perjanjian jual beli MASwings dari Malaysia Aviation Group (MAG).