Generasi muda harus fahami sejarah Parti PBB

KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terutama golongan generasi baharu perlu memahami sejarah dan tujuan penubuhan PBB.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini penting supaya generasi baharu dalam parti tidak mudah terjerumus daripada landasan parti.

Katanya, PBB ialah parti politik utama di Sarawak yang berteraskan kepentingan Bumiputera yang antara lain bertujuan memperjuangkan hak dan kepentingan bumiputera.

Selain itu, PBB sentiasa berusaha memastikan hak serta kepentingan politik, ekonomi, dan sosial masyarakat Bumiputera di Sarawak terus terpelihara.

Selain itu, katanya, Parti PBB juga berusaha mengekalkan keharmonian antara kaum di negeri ini.

Menurutnya, Parti PBB juga aktif dalam mempertahankan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan parti dominan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Adalah perlu kita sebagai masyarakat Bumiputera mempertahankan perjuangan Parti PBB dalam pelbagai segi bagi menjamin kemakmuran dan kemajuan rakyat dan Sarawak.

“Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peraturan dan tujuan penubuhan PBB, setiap pemimpin di peringkat akar umbi boleh mendapatkan buku kecil tentang perlembagaan PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbi, PBB Ranting Kampung Tabuan Tengah di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Penghulu Hamzah Dollah, Ketua Kaum Kampung Tabuan Tengah, Napi Ibrahim, Ketua PBB Ranting Tabuan Tengah, Jaafar Dollah dan seorang Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Kaunselor Othman Bujang dan Ketua Penerangan PBB Demak Laut, Kaunselor Othman Ibrahim.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.5 Demak Laut turut mengumumkan beberapa projek pembangunan yang telah dan akan dimajukan di Kampung Tabuan Tengah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.8 juta melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Katanya, antara projek pembangunan berkenaan ialah menaiktaraf sistem perparitan di tiga kawasan di Kampung Tabuan Tengah, pembinaan benteng di Bukit Salhah, naik tarap jalan belian Lorong Japar, jeti nelayan, pembinaan dewan dan surau di kampung ini.

“Semua projek ini apabila siap sepenuhnya kelak dapat memberi banyak manfaat kepada penduduk di Kampung Tabuan Tengah,” katanya.