Perhimpunan Agung Ke-16: Perwakilan, pemerhati mula mendaftar

KUCHING: Para perwakilan dan pemerhati dari 82 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mula mendaftar di beberapa buah hotel terpilih di sini hari ini.

Kedatangan 3,213 perwakilan dan pemerhati itu ke bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB pada 14 hingga Februari ini. Tema perhimpunan adalah “PBB Tonggak Kestabilan, Kemajuan dan Kelestarian Sarawak”.

Antara hotel penginapan para perwakilan dan pemerhati adalah Hotel Riverside Majestic, Hotel Penview, Hotal Raia, Hotel Merdeka Palace, Grand Margherita dan beberapa hotel sekitar bandar raya ini di sini.

Sebahagian daripada perwakilan dan pemerhati mendaftar masuk seawal jam 8 pagi. Kebanyakannya adalah perwakilan daripada Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB.

Pada sebelah malamnya, perwakilan dari pergerakan Pemuda dan Wanita PBB akan diraikan dengan majlis jamuan malam Selamat Datang di dua tempat yang berasingan iaitu di Hotel Waterfront untuk perwakilan dan pemerhati Pergerakan Wanita manakala Hotel Riverside Majestic untuk Pergerakan Pemuda.

Perhimpunan dan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB akan diadakan pada Jumaat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula jam 7.30 pagi.

Acara ini akan dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Premier Sarawak.

Seorang daripada perwakilan, Masalia Suhai memberitahu, beliau amat teruja setelah dipilih sebagai seorang daripada perwakilan bagi pergerakan wanita dalam Perhimpunan Agung ini.

Katanya, beliau berharap perhimpunan kali ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dan semangat kerjasama semua pemimpin dan ahli parti dalam memperjuangkan matlamat dan hala tuju PBB.

Masalia adalah Ketua Pergerakan Wanita PBB N.5 Demak Laut.

Seorang lagi peserta, Muhammad Syuhaizal Mahtar memberitahu beliau juga gembira kerana turut dipilih sebagai pemerhati perhimpunan agung ini.

“Saya juga berharap perhimpunan ini dapat merapatkan lagi hubungan semua Ahli Jawatankuasa Cawangan dan memberi penekanan dalam bantuan sosial dan perkhidmatan pemerkasaan pembangunan luar bandar khasnya.” katanya yang juga pemerhati bagi Pergerakan Pemuda. Muhammad Syuhaizal adalah Ketua Pemuda PBB Ranting Kampung Goebilt.

Seorang peserta perhimpunan, Khairol Adha Paruwadi berkata, beliau turut bertuah kerana dipilih sebagai petugas dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-16.

“Ini adalah pengalaman paling berharga untuk saya dan berharap agar PBB terus maju untuk membangun negeri Sarawak,” katanya.

Khairol Adha adalah Timbalan Ketua Penerangan Pererakan Pemuda PBB N.5 Demak Laut dan juga ahli PBB Ranting Samajaya Muara Tabuan.

Perwakilan dan pemerhati bagi Kaum Bapa PBB akan mendaftar esok, Jumaat manakala Perhimpunan Agung PBB akan diadakan pada Sabtu di BCCK.