Pakej Kerja 11 Projek LPB di Miri siap 2027

KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak Fasa Satu sudah 99 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata Fasa Satu bermula dari Telok Melano ke Miri sepanjang 786 kilometer (km).

“Namun bagi Pakej Kerja 11 di Miri, ia hanya akan dapat disiapkan pada suku keempat tahun 2027 berikutan kerja-kerja reka bentuk semula yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dari Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta di Parlimen di sini.

Sementara itu, mengenai pertanyaan Ahli Parlimen Selangau terbabit, Alexander berkata kawasan dimaksudkan bagi cadangan membina persimpangan jalan baharu ke Pekan Tatau ialah Seksyen Tatau dalam Pakej Kerja 09 iaitu dari Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu yang telah siap pada 14 Ogos 2024.

“Memandangkan cadangan tersebut tiada dalam perancangan asal projek, permohonan tersebut perlu dikemukakan sebagai projek baharu,” katanya.

Beliau berkata oleh itu, permohonan baharu perlu dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya melalui Kerajaan Sarawak untuk pertimbangan Agensi Pusat selanjutnya.