SEMOP: Pembinaan Jambatan Jepak dan Batang Rajang bukan sahaja simbol kemajuan pembangunan infrastruktur di Sarawak, malah menyerlahkan kegigihan kerajaan negeri dalam usaha menghubungkan kawasan pesisir yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan air.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, kedua-dua jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada projek 10 jambatan penghubung sepanjang 896 kilometer (km) laluan jalan pesisir Sarawak.
Lebih membanggakan apabila keseluruhan kos pembinaan 10 jambatan ini yang dianggarkan berjumlah RM3.8 bilion dibiayai sepenuhnya melalui tabung kewangan negeri Sarawak tanpa bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Ini jelas menunjukkan keupayaan Sarawak dalam menjana pendapatan sendiri dan menyalurkan semula hasil negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas lawatan kerja di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong hari ini.
Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu lagi, kejayaan projek mega seperti ini adalah hasil daripada kepimpinan negeri yang bijak mengurus kewangan, kecekapan agensi pelaksana, serta kestabilan politik dan keharmonian masyarakat Sarawak.
Katanya, pembinaan jambatan ini juga diyakini akan mengurangkan kos logistik dan menjana peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk pertumbuhan ekonomi luar bandar.
