JKM Sarawak raikan sokongan rakan strategik

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak mengiktiraf sebanyak 84 rakan strategik terdiri daripada agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) atas sokongan berterusan menjayakan inisiatif Kerajaan Sarawak.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, pengiktirafan itu atas usaha membantu mangsa bencana ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) lalu.

“Mereka turut diiktiraf atas menjayakan usaha JKM seperti ‘Kenyalang Gold Card’ (KGC), ‘Senior Citizen Health Benefits’ (SCHB), bantuan khas pesakit buah pinggang, bantuan perubatan, bantuan alat tiruan mahupun alat sokongan.

“Rakan strategik semasa bencana musim MTL banyak membantu kejayaan perkhidmatan yang kita berikan di pusat pemindahan sementara.

“Dari segi menyediakan logistik, kekuatan anggota, menyumbang makanan dan keperluan kepada mangsa sangat kita hargai,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Apresiasi Bersama Rakan Strategik JKM di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) petang tadi.

Fatimah mendedahkan sebanyak RM15.5 juta telah diperuntukkan bagi membantu 123,555 orang atau 34,623 keluarga mangsa banjir yang berlaku sebelum ini.

Selain rakan strategik, turut diraikan seramai 30 klien JKM Bahagian Kuching yang menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan sempena Hari Raya.

Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Salina Bujang, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Jamri Masran, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit dan Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh.