Kepimpinan akar umbi mata dan telinga Parti PBB

PUSA: Kepimpinan akar umbi perlu aktif memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mengenalpasti masalah yang berlaku di kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor menggesa badan bukan kerajaan (NGO) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampung turut sama memainkan peranan dan berfungsi seperti yang diharapkan agar segala usaha pembangunan dapat dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan NGO untuk menggunakan peruntukan dengan betul untuk manfaat masyarakat.

Razaili berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua kaum (KMKK) dan Ranting PBB N29 Beting Maro di Dewan Seminar Al Amin Beladin, Pusa hari ini.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli parti agar bergerak dengan lebih proaktif mendekati masyarakat dan bukannya masih di takuk yang lama.

“Sokongan berterusan daripada ahli parti diperlukan agar kerajaan terus mendapat mandat untuk menerajui negeri Sarawak, sekaligus membawa pembangunan berterusan,” katanya.

Menyentuh perkara lain, Razaili mahu semua KMKK atau Ranting PBB untuk menghidupkan segala seni kebudayaan atau tradisi bagi mengangkat jiwa bangsa orang Melayu.

Katanya, beliau akan menyediakan peruntukan seperti tenunan kain songket, keringkam dan pembuatan tikar traditional yang boleh mengembangkan ekonomi setempat.

Ujarnya, inisiatif ini bagi memastikan tiada masyarakat di Beting Maro yang tercicir daripada mendapat kemudahan pembangunan hasil kestabilan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ekonomi yang kukuh.

Pada perjumpaan itu juga, Razaili menyampaikan sumbangan raya kepada KMKK dan Ranting PBB N29 Beting Maro.

GAMBAR:UKAS