BINTULU: Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 September ini membuka lembaran baharu dalam sejarah 47 tahun pelabuhan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kejayaan itu menjadi bukti kerjasama erat dan persefahaman antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan proses peralihan yang panjang dan kompleks.
Menurutnya, kejayaan merealisasikan pengambilalihan berkenaan membuktikan perkara rumit dapat diselesaikan menerusi rundingan, kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua kerajaan.
Beliau berkata, tiga perkara utama yang dipersetujui sepanjang proses pengambilalihan telah dipenuhi, termasuk pengambilalihan semua kakitangan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB), pengembalian sebahagian aset serta bayaran bagi pelepasan aset Pelabuhan Bintulu.
“Pertama, kita mengambil alih semua kakitangan Lembaga Pelabuhan Bintulu. Kedua, sebahagian daripada aset Lembaga Pelabuhan Bintulu akan dikembalikan dan ketiga, kita membayar bagi pelepasan aset Pelabuhan Bintulu.
“Semua itu telah kita penuhi. Sebab itu, hari ini Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia mengesahkan bahawa pelabuhan ini diserahkan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perpisahan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, di sini, malam tadi.
Uggah berkata, proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana membabitkan pelbagai aspek termasuk aset dan tanah, kewangan, perundangan, perjawatan, kebajikan kakitangan, usaha wajar serta undang-undang kecil pelabuhan.
Namun, katanya, semua perkara itu berjaya diselesaikan melalui rundingan yang mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak, selain berlandaskan kesabaran dan rasa hormat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
Proses peralihan itu mempunyai sejarah panjang, bermula dengan pengumuman Premier Sarawak pada 30 Januari 2023, sebelum disusuli pengumuman Perdana Menteri di Parlimen pada 13 Oktober tahun sama.
Ia kemudian diteruskan dengan pertukaran Memorandum Persefahaman pada 22 Mac 2024 dan pembubaran Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu di Parlimen pada 17 Julai 2024.
Persetujuan nilai pengambilalihan sebanyak RM1.8 bilion dicapai pada 4 Februari 2026, diikuti Majlis Penyerahan Cek pada 21 Jun tahun ini, sekali gus melengkapkan perjalanan panjang menuju penyerahan rasmi pelabuhan kepada Sarawak.
Uggah berkata, pengambilalihan itu mencerminkan semangat Malaysia yang mampu menyatukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan isu yang pada asalnya begitu kompleks.
Pelabuhan Bintulu yang berkembang sejak 1979 kini bukan sekadar menyokong industri tenaga, malah berperanan sebagai pintu perdagangan, pemangkin perindustrian dan penghubung sumber Sarawak dengan pasaran dunia.
Dengan penyerahan berkuat kuasa 1 September ini, pelabuhan berkenaan memasuki fasa pentadbiran baharu yang dipacu aspirasi Sarawak, dengan kecekapan perkhidmatan, produktiviti, keselamatan, integriti dan tadbir urus terus menjadi keutamaan.
Pelabuhan Bintulu juga dijangka menerima pensijilan EcoPorts pertamanya pada September 2026, sekali gus menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pelabuhan yang mengamalkan pengurusan lebih mampan di Asia Tenggara.
