KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Patingan memeriahkan bulan kebangsaan dengan menganjurkan pelbagai pertandingan Semarak Merdeka sempena bulan Kemerdekaan di sini, hari ini.
Program tahunan itu diadakan dengan kerjasama Masjid Darulhana Patingan (MDHP) Kampung Patingan, Kampung No.6 .
Antara aktiviti menarik yang dipertandingkan ialah pertandingan deklamasi sajak kategori kanak-kanak dan dewasa, pertandingan menghias pulut kuning merdeka, serta pertandingan pakaian kebangsaan.
Hadir memeriahkan KRT Patingan Semarak Merdeka itu, Pengerusi KRT Patingan, Mohamad Yusof, Ketua Kaum Patingan, Othman Patrick Jitam serta ahli-ahli KRT.
Mohamad dalam ucapan ringkasnya berkata, program berkenaan di anjurkan untuk memupuk semangat cinta akan negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya, ia juga sebagai menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya anak-anak muda.
“Menerusi aktiviti ini, mampu merapatkan ukhuwah dalam kalangan penduduk kampung,” katanya.
