Pesta Air Sibu Jaya berpotensi jadi produk pelancongan

SIBU: Pesta Air Sibu Jaya berpotensi dikembangkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti di Sibu.

Ia susulan peningkatan penyertaan dan sambutan masyarakat setiap tahun.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan festival yang kini memasuki penganjuran kali ketujuh atau kelapan itu memberangsangkan.

Beliau berkata, anggaran lebih 10,000 pengunjung itu mencerminkan kemampuan acara berkenaan menarik penyertaan masyarakat dalam skala besar.

“Saya mengikuti perkembangan festival ini dan dapat melihat penglibatan rakyat begitu ramai sekali. Saya rasa pada hari ini lebih daripada 10,000 orang berada di sini,” katanya kepada pemberita pada Pesta Air Sibu di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, di sini hari ini.

Karim berkata, antara kekuatan festival itu ialah konsep berasaskan komuniti dengan penglibatan masyarakat Dayak, Melayu, Melanau dan Cina, selain merangkumi pelbagai peringkat umur.

Menurutnya, konsep sedemikian bukan sahaja menjadikan festival lebih meriah malah memberi nilai tambah kepada sesuatu acara pelancongan kerana masyarakat setempat sendiri menjadi sebahagian daripada pengisian dan tarikan.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa mengalu-alukan penganjuran program sedemikian dan memuji Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) serta Amcorp kerana berjaya menyediakan platform kepada masyarakat dan mengembangkan festival berkenaan ke tahap lebih besar.