KANOWIT: Seramai 60 pekebun kelapa sawit di kawasan Machan menerima bantuan menerusi Program Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBSKL) di Machan, semalam.
Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong.
Allan berkata, bantuan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan bagi membantu meringankan beban pekebun, khususnya menghadapi peningkatan kos input pertanian.
Menurutnya, kenaikan harga baja antara lain dipengaruhi ketidaktentuan serta konflik yang berlaku di Timur Tengah, sekali gus memberi kesan kepada kos pengeluaran sektor pertanian.
“Dalam masa sama, selain memberi tumpuan kepada tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan lada, masyarakat juga perlu memperkukuhkan sektor tanaman makanan.
“Tanaman makanan amat penting bagi menjamin keselamatan makanan khususnya di Sarawak. Oleh itu, kita perlu memastikan pengeluaran makanan tempatan terus diperkasakan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara wakil rakyat, Jabatan Pertanian dan komuniti setempat bagi memastikan bantuan serta khidmat sokongan kepada golongan petani dapat disampaikan secara berkesan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Daerah Kanowit atas komitmen dan usaha berterusan dalam menyediakan khidmat serta sokongan kepada komuniti petani di kawasan berkenaan,” ujarnya lagi.
Foto: Facebook Parti PBB N.50 Machan
