Pegawai Perhubungan Awam benteng komunikasi tangani krisis

KUCHING: Semua kementerian dan agensi kerajaan di Sarawak diingatkan supaya memperkasakan peranan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) mereka dengan lebih mantap.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS), Datuk Abdulllah Saidol berkata, PRO juga berperanan sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan, khususnya dalam menangani krisis dan isu yang tular di media sosial.

“PRO tidak seharusnya hanya dilibatkan dalam urusan protokol, majlis atau pemasangan banting saja.

“Sebaliknya, mereka perlu diberi akses maklumat dasar dan perkembangan projek agar maklumat tepat dapat disampaikan pantas kepada rakyat.

“Mereka juga memainkan peranan amat penting bagi mengukuhkan pentadbiran agensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan penutupan UKAS Making Connections 2026: Bengkel ‘Strategic Crisis Communication & Media Management Advisory For Government Leaders’, di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, PRO perlu kreatif, beretika dan berhati-hati dalam mengurus isu sensitif, selain memahami fungsi asas kementerian atau agensi masing-masing.

“Jangan abaikan unit komunikasi dan PRO, libatkan mereka serta beri ruang berkongsi maklumat dan perkembangan projek agar dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kepimpinan agensi menerima maklum balas daripada PRO tanpa mewujudkan suasana yang menyebabkan pegawai takut menyampaikan realiti di peringkat akar umbi.

Katanya, komunikasi dua hala amat penting bagi membantu kerajaan mengurus persepsi, mengelakkan salah faham dan mengekalkan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, pengalaman berdepan isu yang tular di media sosial menunjukkan pengurusan krisis memerlukan ketenangan, penjelasan berfakta dan pendekatan perhubungan awam yang bijaksana.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.