BINTULU: Pembukaan awal Jambatan Bintulu-Jepak bakal membawa perubahan besar kepada ekonomi dan infrastruktur di kawasan Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, jambatan itu memendekkan tempoh perjalanan ke bandar ini, sekali gus merancakkan ekonomi kampung di Jepak.
“Saya menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pembinaan jambatan tersebut,” katanya.
Beliau juga mendedahkan perancangan mengadakan pasar tani dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Jepak pada Mei depan.
Selain itu, perancangan projek infrastruktur di Jepak juga bakal dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk pembinaan Tebingan Jepak, Anjung Usahawan, padang rekreasi, Pusat Komersial Bintulu serta rumah mampu milik.
