150 anak-anak kumpulan sasar YKN terima sumbangan Raya

KUCHING: Seramai 150 anak-anak kumpulan sasar menerima sumbangan pakaian raya dan duit raya pada Program Sinar Syawal Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Mydin Vista Tunku, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, program itu adalah kerjasama YKN dengan Alliance Islamic Bank Berhad yang menaja pakaian serta duit raya kepada anak-anak daripada kumpulan sasar YKN di Kuching itu.

“Dengan adanya program ini, kanak-kanak ini dapat membeli pakaian masing-masing untuk Hari Raya kelak,”katanya ketika menghadiri program terbabit.

Nancy harap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa dan penjaga serta menceriakan suasana sambutan Hari Raya nanti.

“Semalam di Lundu, seramai 50 anak-anak turut menerima manfaat yang sama,” tambahnya.

Beliau turut menggesa lebih ramai
syarikat korporat dan organisasi untuk tampil menyumbang dan YKN sentiasa terbuka menjadi jambatan antara pihak korporat dan mereka yang memerlukan.