Pusat Pembungkusan Komersial bantu peniaga IKS tingkat kualiti produk

KUCHING: Pusat Pembungkusan Komersial CENTEXS memberi tumpuan membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meningkatkan kualiti, keselamatan serta kebolehpasaran produk melalui penyelesaian pembungkusan bersesuaian.

Ketua Operasi FoodHub, Amirul Hadi Salim berkata, pusat berkenaan memberi pendedahan mengenai keselamatan makanan dan kepentingan pembungkusan bagi meluaskan pasaran produk.

Menurutnya, meskipun kebanyakan produk IKS mempunyai potensi, aspek jangka hayat, penampilan dan persembahan pembungkusan masih boleh dipertingkatkan.

“Matlamat kami untuk meningkatkan pembungkusan, khususnya dari aspek keselamatan dan kebolehpasaran produk.

“Jenis pembungkusan yang sesuai bergantung kepada produk, termasuk pembungkusan tahan beku bagi makanan sejuk beku dan pembungkusan retort bagi produk yang boleh disimpan pada suhu ambien,” katanya.

Beliau ditemui selepas program Kamboh Kuching Comeback Pocket Talk berkaitan sesi pengenalan perkhidmatan pusat pembungkusan CENTEXS Commercial bersama usahawan makanan dan minuman anjuran pusat tersebut di Juma’ani Pavilion di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi makanan ringan seperti keropok, katanya, pembungkusan kedap udara sesuai digunakan bagi membantu mengekalkan kualiti produk.

Beliau berkata, perkhidmatan pusat berkenaan turut ditawarkan pada kadar yang mengambil kira kemampuan usahawan IKS.

Jelasnya, objektif CENTEXS terutama pusat kendaliannya, menghubungkan individu dan perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Strategik dan Komunikasi, Galeri dan Pemasaran CENTEXS Commercial Services Sdn. Bhd, Malisa Sahari berkata, pusat berkenaan melengkapkan ekosistem IKS dengan menyediakan sokongan kepada usahawan.

Katanya, sokongan itu merangkumi usaha menghasilkan produk berkualiti dan pembungkusan menarik yang berpotensi menembusi pasaran luar Sarawak.

“Pada peringkat awal, inisiatif itu memfokuskan peserta hanya di sekitar Kuching.

“Masa ini kami sasar 20 usahawan sahaja dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum diperluas ke seluruh Sarawak,”ujarnya.