Projek Jalan Menalun-Sungai Poi Fasa 3 bakal mudahkan pergerakan penduduk

KANOWIT: Projek Jalan Menalun-Sungai Poi Fasa 3 sepanjang kira-kira 3.63 kilometer (KM) akan mula dilaksanakan di sini.

Menteri Perpaduan Negara dan Ahli Parlimen Kanowit Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, projek berkenaan akan meneruskan jaringan jalan sedia ada.

Katanya, jaringan terbabit dari kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menalun dan Klinik Kesihatan Nanga Menalun sehingga ke sekitar Rumah (Rh) Jelani.

“Kesinambungan projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk dari segi pergerakan harian, akses kepada kemudahan asas serta membuka lebih banyak ruang aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Menalun-Sungai Poi Fasa 3 di tapak projek dan Rh Jarau, Menalun Ili, Sungai Poi, di sini, hari ini.

Aaron berkata, projek pembangunan lain turut dilaksanakan di kawasan berkenaan termasuk pembinaan Jalan Nanga Machan/SRK Nanga Manggut, Fasa 2, Machan bernilai RM39 juta serta pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Kanowit.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong.