Cadangan wujudkan pusat seni persembahan seni, Sibu disaran kemukakan permohonan

SIBU: Sibu disaran mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Sarawak untuk membina sebuah pusat seni persembahan sendiri bagi menyokong perkembangan industri kreatif dan penganjuran acara bertaraf antarabangsa di bandar ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan berdasarkan komitmen Sibu dalam menganjurkan Festival Tarian Antarabangsa Sibu
(SIDF) yang kini memasuki edisi ke-12.

Katanya, penganjuran SIDF secara konsisten membuktikan Sibu mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai salah satu pusat seni dan budaya di Sarawak.

“Dengan minat, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan penganjur di Sibu sehingga edisi ke-12, saya berharap Sibu juga dapat memiliki sebuah pusat seni persembahan sendiri.

“Mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Sarawak untuk membina pusat seni persembahan di Sibu kerana saya tahu Sibu begitu komited dalam membawa dan menganjurkan acara sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Malam Gala SIDF 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Abdul Karim berkata, kewujudan pusat seni persembahan bukan sahaja menyediakan venue lebih sesuai untuk penganjuran acara seni, malah mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri kreatif di Sibu.

Katanya, Sarawak sendiri sedang memperkukuh ekosistem seni persembahan menerusi pembinaan sebuah pusat seni persembahan baharu di Kuching yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan.

“Pusat berkenaan bakal menjadi bangunan ikonik serta menyediakan kemudahan dan venue yang lebih sesuai untuk perkembangan industri seni persembahan di Sarawak,” katanya.