ASAJAYA: Sebanyak 66 surat hak milik tanah bagi Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Kampung Tradisi Moyan Laut diserahkan kepada penerima hari ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya,
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
menyampaikan surat itu di kampung terbabit, di sini, hari ini.
Sejumlah 66 geran (surat hak milik) tanah diserahkan pada hari ini tetapi hanya diterima oleh 57 orang, katanya.
Beliau sehubungan itu berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang melaksanakan penyukatan tanah serta menyerahkan surat hak milik tanah bagi kampung tradisi itu.
“Saya nasihatkan mereka yang belum mendapat surat tanah agar bersabar,” katanya.
Karim juga menjelaskan, di bawah surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri tidak perlu membayar kos seperti upah survei, premium, cukai tanah dan sebagainya kerana semua ditanggung kerajaan.
Sementara itu, mengenai isu tanah di Kampung Tambirat di sini, beliau berkata kes tersebut telah dibawa ke mahkamah dan berikutan itu beliau tidak dapat menghuraikan kes itu secara terperinci.
Menurutnya, kerajaan telah bersetuju untuk mengambil alih tanah-tanah tersebut kerana tanah swasta.
