DEBAK: Peruntukan berjumlah RM600,000 dilulus bagi projek menaik taraf Pusat Sukan Riveria Debak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu dikendalikan agensi pelaksana iaitu Majlis Daerah Betong (MDS).
“Projek ini dijangka mula dilaksanakan pada penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Futsal Piala Belia Terbuka Lelaki Bawah 30 Tahun 2025 di Pusat Sukan Riveria Debak di sini, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan pusat sukan itu untuk kegunaan penduduk Debak.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini dan Temenggung Piee Alwi.