Pembangunan Jepak melangkah era baharu

BINTULU: Sumbangan besar mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Allahyarham Datuk Talip Zulpilip dalam membangunkan kawasan Jepak tidak akan dilupakan.

ADUN Jepak merangkap Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak, Iskandar Turkee, berkata Allahyarham menjadi inspirasi utama beliau dalam misi memodenkan kawasan tersebut dan meneruskan legasinya.

“Saya bukan menggantikan almarhum (Talip), tetapi meneruskan legasinya. Jepak kini berada dalam fasa penting, kita melangkah ke era baharu, era pemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika
majlis Riang Ria Raya PBB N.67 Jepak Bersama Ketua Masyarakat dan Komuniti di sini, malam kelmarin.

Iskandar turut mengimbas kembali sumbangan besar Allahyarham yang membawa pelbagai perubahan infrastruktur ke Jepak, antaranya pembinaan Jambatan Jepak, sekolah, pusat komuniti dan usaha memperjuangkan hak tanah adat (Vaie) .

Pada majlis tersebut, Iskandar mewakili Parti PBB N.67 Jepak turut menyerahkan momento penghargaan kepada keluarga Allahyarham yang diwakili kakak Allahyarham, Fatimah Zulpilip dan suaminya, Sahari Man.