KUCHING: Sebanyak 510 syarikat diluluskan dan diwartakan sebagai “Deemed To Be A Native” di bawah Seksyen 9(1)(d) Kanun Tanah Sarawak setakat 30 April lalu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, syarikat yang diwartakan itu dibenar melaksanakan urus niaga tanah yang berstatus Native Area Land mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kuasa meluluskan permohonan syarikat yang mempunyai pegangan syer bumiputera 100 peratus terletak di bawah Setiausaha Kerajaan Sarawak.
“Manakala, bagi syarikat dengan pegangan syer bumiputera kurang daripada 100 peratus, kelulusan adalah di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian pada sidang Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Len Talif menambah, permohonan untuk status “Deemed To Be A Native” boleh dikemukakan kepada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dengan melengkapkan borang permohonan yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi kementerian tersebut.
