KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus berkongsi rezeki kepada rakyat negeri ini, selaras dasar keterangkuman digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sentiasa ikhlas membantu rakyat di wilayah ini, tanpa mengira latar belakang.
Jelas beliau, dengan pertambahan kewangan Sarawak, segala jenis bantuan seperti Sumbangsih, pendidikan percuma dan pelbagai lagi inisiatif dapat dilaksanakan untuk membantu rakyat.
“Apabila kita mempunyai dasar sedemikian, sudah tentu akan melibatkan kos, tetapi dengan niat yang baik, saya percaya Tuhan akan membantu kita dalam usaha menambah rezeki.
“Alhamdulillah, rezeki Sarawak semakin meningkat dan kita kongsi kepada rakyat jelata dengan adanya ada kita sendiri di peringkat Sarawak,” katanya berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Gawai Dayak 2025 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.
Abang Johari menjelaskan, Sumbangsih Gawai Dayak yang julung kali diadakan ini sebagai penghargaan kepada petugas yang berkorban masa bekerja sempena musim perayaan nanti.
“Bantuan ini kita berikan kepada rakan-rakan kita yang merayakan Gawai Dayak daripada agensi-agensi tersenarai termasuk badan beruniform yang berkorban meninggalkan isteri dan keluarga demi tugas yang diamanahkan.
“Saya ucapkan terima kasih kerana sudi menyumbang tenaga ketika perayaan,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan aluan menjelaskan bahawa sebanyak 11,900 pek makanan akan diagihkan.
“Pengagihan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melibatkan 4,000 pek, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) (2,400), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (1,050), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (1,550), Jabatan Penjara Malaysia (JPM) (450) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) (550).
“Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM) akan menerima (750) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (550), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) masing-masing 250 dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) (100),” jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali.
