KUCHING: Sarawak dicadang agar mengubal undang-undang untuk menangani isu kenderaan berat keluar masuk ke tapak binaan sehingga mengotorkan jalan-jalan sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-PBB Tupong yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, isu ini berlaku di kawasan DUN Tupong yang menyaksikan pembangunan rancak dengan tapak-tapak binaan kawasan perumahan dan rumah-rumah kedai.
Katanya, kenderaan berat seperti lori dipenuhi dengan tanah keluar masuk ke tapak binaan mengakibatkan jalan-jalan sekitar menjadi kotor dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar undang-undang digubal untuk menangani isu ini dan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Pembandaran,” kata.
Beliau berkata demikian semasa membahas usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Fazzrudin juga mencadangkan agar sistem ‘wash through’ dapat diperkenal dan diwajib di setiap kawasan tapak binaan dan denda lebih besar dikenakan kepada mereka tidak bertanggungjawab.
“Kita faham pemandu lori ini harus menggunakan jalan tersebut bergerak ke tapak pembinaan tetapi apa yang kita mahu adalah pemantauan yang lebih ketat bagi memastikan lori dari tapak pembinaan dicuci,”katanya.
Beliau berkata, ini supaya tanah tidak bertaburan di jalan raya dan berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya motosikal.
