Jalan utama di Lingga alami hakisan sungai, pantai

KUCHING: Kerajaan Sarawak dipohon memberikan perhatian dan membantu menangani masalah jalan utama yang mengalami hakisan sungai dan pantai di Lingga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-PBB Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, antaranya jalan utama dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga sepanjang 31.3 kilometer (km) yang berbahaya kerana semakin terhakis akibat arus deras Sungai Batang Lupar.

“Terutamanya di kawasan km 4.2 dari Kampung Agropolitan Seduku menuju ke lingga, jarak perantaran Sungai ke jalan utama dalam anggaran kurang daripada 15 meter (m) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dayang Noorazah berkata, mereka tidak dapat menjangkakan berapa lama jalan tersebut boleh bertahan dan memmohon Kerajaan Sarawak mempertimbangkan dua cadangan bagi menangani masalah tersebut.

Katanya, cadangan pertama ialah   pembinaan Riverbank Protection di km 4.2 dari Kampung Agropolitan Seduku menuju ke Lingga dengan anggaran panjang dua km.

“Kedua, untuk jangka masa panjang, cadangan bagi membina jalan alternatif baharu dari Agropolitan Seduku ke Lingga,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan keadaan Pantai Tanjung Riong Maludam yang semakin terhakis dan jarak antara Pantai menuju ke jalan utama Maludam dianggarkan berbaki kurang daripada 15 m.

Menurutnya, lebih membimbangkan adalah terputus jalan dari Semarang ke Maludam dan juga keselamatan kediaman penduduk di sekitar kawasan tersebut yang sangat terdedah hakisan Pantai.