KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) komited untuk memastikan kokurikulum pendidikan tinggi di negeri ini kekal relevan dengan keperluan industri, adaptif dan bersedia menghadapi masa depan selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Menterinya, Datuk Francis Harden Hollis berkata, MEITD secara langsung menyokong aspirasi PCDS 2030 dalam membangunkan tenaga kerja yang berdaya tahan, berkemahiran dan bersedia untuk masa depan melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Antara sokongan yang diberikan adalah inisiatif Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaTFair) sebagai platform utama yang dianjurkan setiap tahun.
“Ia bertujuan menyediakan maklumat mengenai peluang pendidikan dan kerjaya, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan belia. Selain itu, memberi kuasa kepada mereka untuk membuat keputusan mengenai masa depan mereka.
“Melalui inisiatif ini dan kerjasama strategik dengan agensi seperti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), serta sokongan daripada agensi utama seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sarawak Skills, Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), PETRONAS dan PETROS.
“Kita menyelaraskan graduan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-PBB Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Francis Harden menekankan pendekatan pembelajaran secara praktikal dan berasaskan kemahiran dalam usaha memastikan latihan yang ditawarkan kekal relevan dan mudah diakses oleh rakyat, terutama masyarakat luar bandar.
