Sarawak perlu tambahkan PUSPEN, tampung kapasiti rawatan, pemulihan

KUCHING: Sarawak perlu menambah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) bagi menampung kapasiti rawatan dan pemulihan bagi masalah penagihan dadah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Ricky @ Mohammad Razi Sitam memberitahu, cadangan ini adalah perlu memandangkan Sarawak hanya memiliki sebuah PUSPEN pada masa ini yang terletak di Puncak Borneo. Ia hanya mampu menampung 350 penghuni.

Katanya, daripada jumlah itu 250 penghuni bagi perintah mahkamah manakala 100 orang lagi penghuni sukarela.

Beliau berkata, keadaan ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rawatan dan pemulihan bersifat dalam institusi di seluruh Sarawak.

“Kerajaan Sarawak amat menyokong cadangan pembinaan PUSPEN yang baharu bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan bagi masalah penagihan dadah.

“Kerajaan Sarawak melalui Kementeruian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti telah mengemukakan permohonan rasmi 11 Mac 2025 kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan cadangan penubuhan dua lagi PUSPEN baharu di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-PBB Tellian, Royston Valentine di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mohammad Razi menjelaskan penambahan PUSPEN adalah penting memandangkan jumlah individu yang ditangkap kerana dadah adalah tinggi iaitu 33,115 tangkapan direkod pada 2022 hingga 2024.

Katanya, kapasiti PUSPEN yang sedia ada tidak mampu menampung keperluan rawatan dan pemulihan dadah di Sarawak jika dibandingklan dengan jumlah tangkapan.

Tambahnya, sebagai langkah sementara, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Pusat Pembangunan Komuniti dan Intervensi (CDIC) yang berperanan sebagai pusat rujukan pencegahan, rawatan daripada pemulihan untuk individu dan keluarga yang terjebak dengan isu penyalahan dadah dan pengambilan bahan terlarang.