KUCHING: Perbincangan mengenai tuntutan Kerajaan Sarawak dan Sabah untuk mendapatkan satu pertiga kerusi Parlimen di Dewan Rakyat masih diteruskan.
Timbalan Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Kerajaan Pusat dan Negeri, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, belum ada keputusan akhir dibuat setakat ini.
Perbincangan mengenainya dengan Kerajaan Persekutuan masih diteruskan, katanya menjawab pertanyaan lisan ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh pada persidangan DUN di sini.
Beliau memberitahu DUN, tiada keputusan akhir dibuat setakat ini berhubung gerakan persempadanan semula kawasan pilihan raya akan datang dan jumlah tambahan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dan DUN masih belum diputuskan.
Hasidah berkata, perbincangan untuk mengukuhkan perwakilan di Dewan Rakyat masih diteruskan di bawah perjanjian MA63 dan Kerajaan Sarawak akan terus membincangkannya.
Kerajaan Sarawak, katanya, secara konsisten membincangkan tuntutan untuk mengekalkan satu pertiga perwakilan dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
