Bina jalan, jambatan pakai teknologi

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sentiasa menilai dan mengguna pakai teknologi terkini bagi memastikan pembinaan jalan serta jambatan di kawasan pesisir bertanah paya gambut selamat, ekonomik dan mesra alam.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, kaedah jalan bertingkat adalah antara lima pendekatan teknologi digunakan dalam pembinaan terkini.

“Kaedah itu melibatkan pembinaan struktur jalan yang dinaikkan di atas tanah gambut menggunakan tiang sokongan,” katanya dalam jawapan lisan menjawab pertanyaan ADUN GPS-PBB Simunjan, Awla Dris pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Pendekatan ini mengelakkan sentuhan langsung dengan tanah gambut, mengurangkan risiko mendapan dan kerosakan jalan dalam jangka masa panjang, tegas beliau.

Aidel berkata, kaedah kedua ialah penggantian tanah lembut melibatkan penggalian tanah lembut (seperti tanah gambut) dan digantikan dengan bahan pengisi yang lebih kukuh dan stabil seperti pasir, batu kerikil, granular fill atau tanah liat yang dipadatkan.

Kaedah Displacement pula melibatkan menolak keluar tanah lembut secara mendatar ke sisi dengan menambahkan bahan pengisi berat (seperti pasir atau batu) dari atas, tanpa perlu mengorek atau menggantikan tanah tersebut, katanya.

Menurut Aidel, kaedah pra-pemadatan dan pengukuhan tanah merupakan pendekatan awal dalam kerja-kerja pembinaan infrastruktur bagi meningkatkan kestabilan dan kapasiti galas tanah bermasalah seperti tanah lembut atau tanah gambut.

Kaedah UHPFRC, tambahnya, sangat sesuai untuk struktur pesisir kerana ketahanannya terhadap penembusan klorida dan sulfat – bahan yang boleh merosakkan konkrit biasa dan kaedah ini membolehkan rentang lebih panjang dengan keratan yang lebih langsing serta rintangan hakisan berasid yang lebih baik.