KUCHING: Balai bomba, kompleks sukan dan stadium tertutup menjadi kemudahan yang perlu segera dibina di daerah Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, ini kerana sebuah balai bomba sudah diluluskan untuk dibina di Kabong baru-baru ini.
“Pembinaan balai bomba di daerah Kabong amat dialukan oleh semua pihak kerana penduduk di daerah Kabong kini telah mencecah lebih 15,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mohd Chee berkata, peruntukan berjumlah RM30 juta telah diluluskan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi projek membina kompleks sukan dan stadium tertutup di daerah Kabong serta senarai cadangan konsultan projek dihantar kepada Perbadanan Sukan Sarawak pada 27 Januari tahun ini.
“Namun statusnya masih ‘pending’ sehingga sekarang. Lawatan tapak telah diadakan pada 24 Februari 2025,” katanya dan memohon kementerian berkaitan mengambil tindakan segera.
