KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diibarat seperti satu taklik perkahwinan yang mengikat dua pihak dalam janji setia yang perlu dihormati dan ditunaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-PBB Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim menyifatkan penyatuan Sarawak dan Tanah Melayu ketika itu umpama ikatan perkahwinan yang dimeterai dengan janji manis – termasuk pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan – yang menjadi asas kepada hubungan dalam Persekutuan Malaysia sehingga ke hari ini.
Katanya, ketika itu Tanah Melayu datang merisik Sarawak melalui Suruhanjaya Cobbold, dengan tujuan memeterai penyatuan, di saat Indonesia juga menunjukkan minat yang sama untuk ‘meminang’ negeri ini.
“Ketika itulah Tanah Melayu menghulurkan lamaran dengan janji yang indah – jika Sarawak bersetuju untuk bergabung, maka negeri ini akan diberi kemajuan, termasuk kemudahan asas seperti bot laju, makanan mewah seperti ikan empurau, serta keperluan rakyat yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Sarawak akhirnya menerima lamaran itu dan membentuk Persekutuan Malaysia melalui akad yang dikenali sebagai MA63 – perjanjian yang masih menjadi asas tuntutan hak negeri hingga kini.
“Walaupun kita sudah berkahwin dan dijamu dengan makanan serta pelbagai kemudahan, itu tidak bermakna kita harus melupakan syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujui sejak awal.
“Kita hanya menuntut apa yang termaktub dalam akad itu, bukan meminta yang baharu,” tegasnya.
Jelas Hamzah, tuntutan terhadap pelaksanaan penuh MA63 bukan sesuatu yang berlebihan atau bersifat mendesak, sebaliknya satu perjuangan untuk memastikan hak negeri dihormati sebagaimana yang telah dijanjikan sejak awal penyatuan.
“Ini bukan soal meminta-minta, ini soal menuntut hak. Ia adalah perjanjian bersama. Sebab itu kita tidak boleh biarkan mana-mana pihak melupakan komitmen terhadap janji yang telah dimeterai bersama rakyat Sarawak,” katanya.
