TEGAS bantu lahirkan belia industri, tenaga kerja berdaya saing

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) mengalu-alukan kehadiran tiga delegasi penting ke TEGAS Digital Village (TDV), menandakan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan belia dan memperkukuh pembangunan ekonomi digital di Sarawak.

Delegasi pertama terdiri daripada wakil German-Malaysian Institute (GMI) yang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.

Pertemuan ini merupakan susulan kepada lawatan hormat TEGAS ke GMI pada 2022 dan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ia sebagai usaha penting melahirkan tenaga kerja belia yang berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan industri masa kini.

Dalam lawatan berasingan, seramai 30 ahli Pemuda, Wanita dan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kuala Rajang turut mengunjungi TDV bagi meninjau lebih dekat pelaksanaan inisiatif pemerkasaan digital yang dikendalikan oleh TEGAS, termasuk program inkubasi syarikat permulaan (startup) dan pembangunan komuniti.

TDV juga menerima kunjungan seramai 97 pelajar Tahun Tujuh dari Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) Sibu yang menyertai sesi pembelajaran interaktif anjuran TEGAS Community Innovative Learning (TCIL).

Kunjungan ini memberi pengalaman pertama kepada ramai pelajar daripada latar belakang B40 dan M20 untuk berinteraksi dengan teknologi serta memahami konsep pembelajaran STEM dalam suasana inovatif.

Ketiga-tiga kunjungan ini mengukuhkan peranan TDV sebagai platform strategik dalam menjalin kerjasama, meneroka teknologi, dan memupuk minat belia terhadap bidang digital.