LUBOK ANTU: Sarawak kini mendahului negeri lain sebagai pengeluar utama minyak sawit negara berdasarkan keluasan kawasan penanaman, sekali gus mengatasi dominasi Sabah dalam sektor komoditi tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keupayaan negeri ini terbukti menerusi nilai eksport minyak sawit yang dicatatkan mencecah RM14.3 bilion pada tahun lalu, seperti yang direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang kini menjadi pengeluar terbesar minyak sawit di Malaysia. Dahulu, Sabah yang terkehadapan, tetapi kini kita telah mengatasi negeri tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Loji Pemprosesan Isirung Kelapa Sawit (Kernel Crushing Plant) milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Kilang Minyak Sawit Lubok Antu, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, kejayaan Sarawak dicapai hasil keluasan penanaman kelapa sawit yang kini melebihi 1.6 juta hektar, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan memberangsangkan dalam sektor eksport.
Beliau optimis pendapatan negeri dapat dipertingkatkan melebihi RM14 bilion sekiranya Sarawak terus memperkukuh pengeluaran produk hiliran kelapa sawit melalui pelbagai inisiatif strategik.
“Kita perlu memberi tumpuan kepada penghasilan produk hiliran. Jika ini berjaya, pendapatan negeri akan meningkat lebih tinggi daripada angka semasa,” katanya lagi.
Tambah beliau, peranan pemilik tanah dan peserta SALCRA turut menjadi faktor utama dalam memastikan industri ini terus berkembang, di samping penggunaan teknologi moden yang semakin meluas dalam sektor perladangan.
Menurutnya, pendekatan seperti penggunaan sistem panel dan tali sawat mampu meningkatkan kecekapan operasi selain membantu mengurangkan kos dan pembaziran.
“Teknologi yang digunakan hari ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan, malah turut menyumbang kepada penjagaan alam sekitar,” ujarnya.
