KUCHING: Generasi muda kini dilihat sebagai pemacu utama pembangunan Sarawak yang lebih lestari dan inklusif, menerusi penyertaan aktif dalam bidang inovasi dan keusahawanan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Len Talif Salleh berkata, usaha mereka bukan sahaja memberi impak kepada diri, tetapi turut mencorak masa depan negeri secara menyeluruh.
“Mereka memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda transformasi negeri, khususnya dalam bidang ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden dan pembangunan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Shell LiveWIRE Sarawak 2025, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan dasar pembangunan negeri perlu disokong oleh semangat inovatif dan keusahawanan generasi baharu.
Kerjasama strategik antara Shell dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) turut dipuji, dengan Len menyifatkan program Shell LiveWIRE sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan pemimpin industri yang mampu menyumbang kepada ekosistem ekonomi dan sosial negeri.
“Sokongan melalui bimbingan profesional, geran permulaan dan jaringan sokongan menjadikan program ini sebagai platform berkesan dalam membina keupayaan usahawan tempatan, terutamanya di luar bandar,” katanya.
