Lawas alami transformasi pembangunan, peluang kerja ditawar

LAWAS: Bandar Lawas bakal mengalami transformasi menyeluruh apabila pelbagai projek pembangunan dilaksana merangkumi kawasan bandar serta seberang Batang Lawas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan ini bukan sahaja akan memperkukuh kemudahan asas, malah membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menikmati kemajuan secara inklusif.

“Jambatan yang sedang dibina akan menghubungkan kedua-dua kawasan, membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan secara seimbang.

“Tumpuan bukan hanya di pusat bandar, tetapi juga di seberang,” katanya ketika merasmikan Lawas Open Dragon Boat 2025 anjuran Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas di Tebingan Sungai Lawas, hari ini.

Antara projek utama yang bakal dilaksanakan termasuk pembinaan Lebuhraya Pesisir Borneo yang menyambung Laluan Pan Borneo melalui Brunei ke Miri, serta Sabah-Sarawak Link Road yang menghubungkan Lawas terus ke Miri tanpa perlu merentasi Brunei.

Selain itu, pembinaan lapangan terbang baharu Lawas dan jeti pelabuhan Laut Dalam Pulau Sari juga dijadual bermula tahun ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Haji Jawa, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi serta pengelola acara Liaw Kuan Leong.